Monday 26 September 2016

KAMU SANG PENCULIK - TINI HARDANISYAH



Jangan lepaskan peluang untuk memiliki KAMU SANG PENCULIK oleh TINI HARDANISYAH.

Diskaun RM2 diberi untuk sesiapa yang membuat PRE-ORDER yang akan berlangsung sehingga 14hb Oktober 2016.

Kisah "Budak Rambut Oren" dan "Makciknya" yang kuat membebel. Kisah Si Lada Hitam dan Si Daun Hijau. 

Jom order dari kami atau dari agen-agen online kami.

PM atau whatsapp kami di 010-93333142 atau 013-3249884

Saturday 17 September 2016

Masih Panas....




Menantu Komando Pencen dah sampai dah ke pejabat kami... Sesiapa yang dah buat Pre Order, insyaallah Isnin kami mulakan penghantarannya... Yang belum order, boleh PM kami atau Whatsapp kami... atau kalau sesiapa yang duduk sekitar Klang Valley boleh dapatkan buku ni di Pesta Buku Sogo... 

Tunggu apa lagi... Cepat-cepat order.



Thursday 8 September 2016

KAMU SANG PENCULIK - TINI HARDANISYAH

AKAN DATANG....



Kisah Budak Rambut Oren dengan 'Makciknya'

Kisah DANIEL IZDIHAR dan ALIYA SHAQINA 

dalam KAMU SANG PENCULIK oleh TINI HARDANISYAH



DANIEL IZDIHAR punca segala huru-hara dalam kehidupun ALIYA SHAQINA yang tenang, tenteram dan teratur akibat ‘penculikan’ yang entah apa-apa! 

“Kalau nampak muda, kenapa asyik panggil saya makcik?”
“Sebab makcik suka membebel.”

Yang dipertikaikan Aliya, beza umur mereka cuma 5 tahun, bukan 15 tahun atau 20 tahun. Tapi, Daniel suka-suka hati panggil dia makcik! Geram betul! 

Namun, semakin mengenali Daniel, semakin banyak sisi positif lelaki itu berjaya dikorek Aliya. Tak salahkan kalau badboy berhati mulia? 

“Jadi, selama ni makcik rasa saya ni manusia tak berguna?” 
“Sejak Niel muncul, hidup akak ni dah jadi tunggang terbalik macam roller coaster tahu tak?! Tolonglah jangan muncul lagi depan akak. Biarkan hidup akak tenang dalam tempoh terdekat ni.”

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata Daniel menghilang entah ke mana. Rindu mula bertapak dalam hati, walau Aliya cuba menafikan. Masa berlalu, Daniel kembali menjadi Daniel yang baru. Bak kata Aliya, Daniel sekarang ini dah jadi nakal yang sopan. 

Ketika hati mula mengenal rasa, badai dan halangan datang bertimpa-timpa. Perbezaan usia, latar belakang, sikap dan keluarga jadi tembok yang memisahkan. Walau sekuat mana mereka berusaha, tidak mudah sebenarnya untuk mengekalkan hubungan yang seperti kapal di lautan. Sekejap tenang, kemudian dipukul ombak. Ada banyak hati perlu dijaga, ada aib yang perlu dilindung. Ramai yang menyokong, namun ramai juga yang menghalang. 

Saat kapal hampir tiba di pelabuhan cinta, sekali lagi ombak fitnah datang melanda. Mampukah mereka mempertahankannya hingga tiba di pelabuhan cinta atau akankah hubungan itu ternoktah begitu sahaja?

Friday 2 September 2016

AKAN TERBIT....



TUDUNG yang agak senget kubetulkan sedikit. Badan sememangnya penat yang teramat setelah lebih tujuh jam memandu pulang dari kampung. Hendak berjimat katakan, padahal abah dari awal lagi mencadangkan aku naik kapal terbang sahaja. Jika dibeli dari awal boleh juga dapat harga promosi, tetapi baru minggu lepas aku buat keputusan untuk pulang ke kampung. Memang tak dapatlah harga yang murah.
Seorang gadis kebetulan masuk ke dalam tandas. Sempat aku hadiahkan senyuman manis padanya. Senyum itu kan sedekah. Tambah pula dia memakai sweater yang sama jenis dan warna denganku. Namun, dia hanya memandangku sinis sebelum berlalu masuk ke dalam salah satu tandas. Sombong betul budak zaman sekarang. Tengok dari wajahnya nampak seperti masih belasan tahun.
Hoodie kutarik menutupi kepala mengikut gaya gadis tadi. Comel juga aku ni macam budak belasan tahun walaupun usia sudah hampir mencecah 25 tahun. Sempat pula aku puji diri sendiri sambil tayang senyuman di hadapan cermin. Kemudian aku terus keluar dari tandas. Tidak mahu berlama di stesen minyak. Malam-malam begini bukannya selamat sangat untuk kaum wanita yang berseorangan sepertiku.
Baru sahaja berjalan keluar beberapa langkah, malang yang tidak berbau terus menerjah. Mulutku tiba-tiba ditekup dari belakang dengan sehelai kain. Aku cuba meronta dan menjerit namun ternyata gagal. Tangan yang menekup mulutku terlalu kuat tenaganya dan apa yang kutahu ialah aku semakin lemah dan duniaku terus menjadi gelap.


MATA kubuka perlahan-lahan dan hanya gelap gelita yang menjengah. Terasa mata sedikit terkurung dan agak sakit. Di dunia manakah aku sekarang? Kenapa semuanya hitam? Ya Allah apalah nasibku sekarang. Aku cuba gerakkan tangan namun gagal kerana ianya terikat kemas dengan tali. Adakah ini salah satu sindiket penculikan? Tetapi mengapa aku? Keluargaku bukannya kaya-raya. Biasa-biasa sahaja. Orang diculik biasanya untuk mendapatkan wang tebusan. Kalau bukan sebagai tebusan, adakah ini sindiket pemerdagangan orang? Ya Allah dugaan apakah ini? Ingin sekali aku menangis tetapi mataku terkurung.
            “Weh, dia dah sedarlah.” Kedengaran suara garau lelaki. Semakin kecut perutku dibuatnya.
            “Siapa tu? Encik tolong saya,” pintaku dengan suara bergetar.
            “Lebih baik kau diam.” Amarannya menyentak semangatku yang tinggal seinci. Namun aku cuba beranikan diri.
            “Encik ni siapa? Nak buat apa dengan saya? Tolonglah lepaskan saya. Apa semua ni? Keluarga saya tak kaya pun kalau encik nak minta wang tebusan,” rayuku semampu mungkin. Kaki kuangkat dan aku cuba menendang apa sahaja yang berdekatan. Terasa seperti tertendang sesuatu tapi aku tidak dapat mengagak apa.
            “Sebelum kaki kau kena ikat macam tangan kau baik kau duduk diam. Bukannya kami nak bunuh kau pun. Lagi satu mulut tu lebih baik diam sebelum kami ikat mulut pula.” Suara lelaki lain pula yang muncul.
Ugutannya tidak terlalu kasar tetapi cukup untuk membuatku terdiam. Rentak orang jahat tidak boleh kulawan kerana lebih buruk padahnya. Ya Allah Ya Tuhanku, kini aku hanya berserah padaMu. Kau selamatkanlah hambaMu ini.
“Kau rasa betul ke orang ni? Macam salah aje,” soal salah seorang dari mereka. Seperti sedang membincangkan tentangku.
“Betullah ni. Kita dah tengok gambar dia elok-elok kan.” Lelaki bersuara garau menjawab.
“Masalahnya yang ini pakai tudung. Yang gambar tu kan tak pakai tudung.”
“Alah biasalah tu kejap pakai tudung, kejap tak pakai tudung. Kita dah intip baik punya, jadi mestilah tak salah orang. Dah nak sampai pun ni, kejap lagi bereslah kerja kita.” Nafasku tertahan saat mendengar kata-kata lelaki bersuara garau itu. ‘Kerja’ apa yang dimaksudkannya? Adakah aku akan dihantar ke sempadan negara?
Nafasku terasa semakin kencang dan tidak terkawal. Patutlah minggu lepas perasaanku agak tidak enak dan kerana itulah aku pulang ke kampung tanpa sebarang perancangan awal seperti biasa. Rupa-rupanya ia kali terakhir aku dapat bertemu dengan abah dan mama. Terasa sebak dadaku mengenangkan itu semua. Seumur hidupku tidak pernah kusangka nasibku akan jadi seperti sekarang. Andainya aku ikut nasihat abah untuk menaiki kapal terbang, pasti ini semua tidak akan terjadi. Setiap cadangan dan nasihat ibu bapa itu adalah demi kebaikan anak-anak dan seharusnya aku tidak memberi banyak dalih.
“Dah sampai.” Suara lelaki garau tadi. Kedengaran bunyi seakan pintu kereta ditutup dan kemudian dibuka.
“Cepat keluar!” Arahan tersebut beserta pegangan di lenganku. Aku cuba menarik lenganku namun gagal. Terus aku diseret keluar. Kakiku terasa jauh untuk mencecah ke bawah dan aku hampir terjelepuk namun bahuku cepat disambar oleh orang jahat yang menculikku.
“Encik tolong jangan pegang saya. Haram perempuan dengan lelaki bersentuh. Kalaupun encik ni nak bunuh atau nak jual saya, saya redha, tapi tolong jangan pegang saya.” Suaraku ditekan sedikit agar mereka memahami. Orang jahat ada perasaan belas kasihan ke?
“Kalau aku tak pegang, nanti kau jatuh,” balasnya dengan suara mendatar.
“Jangan banyak songeh. Jalan aje cepat.” Lengan kananku pula dipegang dan aku ditarik ke destinasi misteri di dalam dunia gelap gelitaku.
Terdengar seperti bunyi deruan ombak dan bayu terasa menyapa wajahku. Agak sejuk juga kawasan ini. Jadi benarlah agaknya ini sindiket pemerdagangan orang. Dalam hati aku tidak putus-putus berdoa agar aku tabah menghadapi dugaan ini dan aku mampu menyelamatkan diriku walau dengan apa cara sekalipun.

Setelah hampir lima minit berjalan, kedengaran bunyi pintu dikuak. Ke mana pula aku dibawa masuk sekarang? Bunyi pintu ditutup dan kain yang menutupi mataku dibuka namun duniaku tetap gelap gelita. Keadaan sangat sunyi bagaikan tiada sebarang bunyi sekalipun bunyi angin. Bunyi petikan jari tiba-tiba membalut kesunyian dan sejurus itu lampu terang-benderang terus menyilaukan mataku yang sudah agak lama tertutup. Aku tidak mampu membuka mata dan wajah terus kutundukkan. Tidak terdaya melawan kesilauan yang teramat dahsyat. Tali yang mengikat tanganku diuraikan dan apa yang tidak pernah kujangka berlaku.