TUDUNG
yang agak senget kubetulkan sedikit. Badan sememangnya penat yang teramat
setelah lebih tujuh jam memandu pulang dari kampung. Hendak berjimat katakan,
padahal abah dari awal lagi mencadangkan aku naik kapal terbang sahaja. Jika
dibeli dari awal boleh juga dapat harga promosi, tetapi baru minggu lepas aku
buat keputusan untuk pulang ke kampung. Memang tak dapatlah harga yang murah.
Seorang gadis kebetulan masuk ke dalam tandas. Sempat aku hadiahkan
senyuman manis padanya. Senyum itu kan sedekah. Tambah pula dia memakai sweater yang sama jenis dan warna
denganku. Namun, dia hanya memandangku sinis sebelum berlalu masuk ke dalam
salah satu tandas. Sombong betul budak zaman sekarang. Tengok dari wajahnya nampak
seperti masih belasan tahun.
Hoodie
kutarik menutupi kepala mengikut gaya gadis tadi. Comel juga aku ni macam budak
belasan tahun walaupun usia sudah hampir mencecah 25 tahun. Sempat pula aku puji
diri sendiri sambil tayang senyuman di hadapan cermin. Kemudian aku terus
keluar dari tandas. Tidak mahu berlama di stesen minyak. Malam-malam begini
bukannya selamat sangat untuk kaum wanita yang berseorangan sepertiku.
Baru sahaja berjalan keluar beberapa langkah, malang yang
tidak berbau terus menerjah. Mulutku tiba-tiba ditekup dari belakang dengan
sehelai kain. Aku cuba meronta dan menjerit namun ternyata gagal. Tangan yang
menekup mulutku terlalu kuat tenaganya dan apa yang kutahu ialah aku semakin
lemah dan duniaku terus menjadi gelap.
MATA
kubuka perlahan-lahan dan hanya gelap gelita yang menjengah. Terasa mata
sedikit terkurung dan agak sakit. Di dunia manakah aku sekarang? Kenapa
semuanya hitam? Ya Allah apalah nasibku sekarang. Aku cuba gerakkan tangan
namun gagal kerana ianya terikat kemas dengan tali. Adakah ini salah satu
sindiket penculikan? Tetapi mengapa aku? Keluargaku bukannya kaya-raya.
Biasa-biasa sahaja. Orang diculik biasanya untuk mendapatkan wang tebusan.
Kalau bukan sebagai tebusan, adakah ini sindiket pemerdagangan orang? Ya Allah
dugaan apakah ini? Ingin sekali aku menangis tetapi mataku terkurung.
“Weh, dia dah sedarlah.” Kedengaran
suara garau lelaki. Semakin kecut perutku dibuatnya.
“Siapa tu? Encik tolong saya,” pintaku
dengan suara bergetar.
“Lebih baik kau diam.” Amarannya menyentak
semangatku yang tinggal seinci. Namun aku cuba beranikan diri.
“Encik ni siapa? Nak buat apa dengan
saya? Tolonglah lepaskan saya. Apa semua ni? Keluarga saya tak kaya pun kalau
encik nak minta wang tebusan,” rayuku semampu mungkin. Kaki kuangkat dan aku
cuba menendang apa sahaja yang berdekatan. Terasa seperti tertendang sesuatu
tapi aku tidak dapat mengagak apa.
“Sebelum kaki kau kena ikat macam
tangan kau baik kau duduk diam. Bukannya kami nak bunuh kau pun. Lagi satu
mulut tu lebih baik diam sebelum kami ikat mulut pula.” Suara lelaki lain pula
yang muncul.
Ugutannya tidak terlalu kasar tetapi cukup untuk membuatku
terdiam. Rentak orang jahat tidak boleh kulawan kerana lebih buruk padahnya. Ya
Allah Ya Tuhanku, kini aku hanya berserah padaMu. Kau selamatkanlah hambaMu
ini.
“Kau rasa betul ke orang ni? Macam salah aje,” soal salah
seorang dari mereka. Seperti sedang membincangkan tentangku.
“Betullah ni. Kita dah tengok gambar dia elok-elok kan.”
Lelaki bersuara garau menjawab.
“Masalahnya yang ini pakai tudung. Yang gambar tu kan tak
pakai tudung.”
“Alah biasalah tu kejap pakai tudung, kejap tak pakai
tudung. Kita dah intip baik punya, jadi mestilah tak salah orang. Dah nak
sampai pun ni, kejap lagi bereslah kerja kita.” Nafasku tertahan saat mendengar
kata-kata lelaki bersuara garau itu. ‘Kerja’ apa yang dimaksudkannya? Adakah
aku akan dihantar ke sempadan negara?
Nafasku terasa semakin kencang dan tidak terkawal. Patutlah
minggu lepas perasaanku agak tidak enak dan kerana itulah aku pulang ke kampung
tanpa sebarang perancangan awal seperti biasa. Rupa-rupanya ia kali terakhir
aku dapat bertemu dengan abah dan mama. Terasa sebak dadaku mengenangkan itu
semua. Seumur hidupku tidak pernah kusangka nasibku akan jadi seperti sekarang.
Andainya aku ikut nasihat abah untuk menaiki kapal terbang, pasti ini semua
tidak akan terjadi. Setiap cadangan dan nasihat ibu bapa itu adalah demi
kebaikan anak-anak dan seharusnya aku tidak memberi banyak dalih.
“Dah sampai.” Suara lelaki garau tadi. Kedengaran bunyi
seakan pintu kereta ditutup dan kemudian dibuka.
“Cepat keluar!” Arahan tersebut beserta pegangan di
lenganku. Aku cuba menarik lenganku namun gagal. Terus aku diseret keluar. Kakiku
terasa jauh untuk mencecah ke bawah dan aku hampir terjelepuk namun bahuku
cepat disambar oleh orang jahat yang menculikku.
“Encik tolong jangan pegang saya. Haram perempuan dengan
lelaki bersentuh. Kalaupun encik ni nak bunuh atau nak jual saya, saya redha,
tapi tolong jangan pegang saya.” Suaraku ditekan sedikit agar mereka memahami.
Orang jahat ada perasaan belas kasihan ke?
“Kalau aku tak pegang, nanti kau jatuh,” balasnya dengan
suara mendatar.
“Jangan banyak songeh.
Jalan aje cepat.” Lengan kananku pula dipegang dan aku ditarik ke destinasi
misteri di dalam dunia gelap gelitaku.
Terdengar seperti bunyi deruan ombak dan bayu terasa menyapa
wajahku. Agak sejuk juga kawasan ini. Jadi benarlah agaknya ini sindiket pemerdagangan
orang. Dalam hati aku tidak putus-putus berdoa agar aku tabah menghadapi dugaan
ini dan aku mampu menyelamatkan diriku walau dengan apa cara sekalipun.
Setelah hampir lima minit berjalan, kedengaran bunyi pintu
dikuak. Ke mana pula aku dibawa masuk sekarang? Bunyi pintu ditutup dan kain
yang menutupi mataku dibuka namun duniaku tetap gelap gelita. Keadaan sangat
sunyi bagaikan tiada sebarang bunyi sekalipun bunyi angin. Bunyi petikan jari
tiba-tiba membalut kesunyian dan sejurus itu lampu terang-benderang terus
menyilaukan mataku yang sudah agak lama tertutup. Aku tidak mampu membuka mata
dan wajah terus kutundukkan. Tidak terdaya melawan kesilauan yang teramat
dahsyat. Tali yang mengikat tanganku diuraikan dan apa yang tidak pernah
kujangka berlaku.
No comments:
Post a Comment